Saturday 12 May 2012

Hukum Gerakan Newton Pertama

Pasti ramai yang mengetahui bahawa Sir Isaac Newton merupakan salah seorang saintis paling berpengaruh di muka bumi ini. Antara teori hebat yang pernah disebut beliau adalah 'hukum gerakan newton pertama' yang menyatakan bahawa : "sesuatu objek akan kekal dalam keadaan asalnya, sama ada bergerak dan terus bergerak, atau pegun hidup segan mati tak mahu, selagi tiada daya luar bertindak atasnya".

Ertinya, kehidupan ini akan kekal di dalam keadaannya sekarang, andai tiada daya luar atau momentum yang dikenakan ke atasnya. Basikal akan terus bergerak, selagi daya dalam bentuk geseran yang terhasil dari brek tidak menghentikan pergerakannya. Sebiji bola pula akan kekal pegun, selagi Cristiano Ronaldo, atau Lionel Messi, atau Safee Sali, ataupun Ahmad yang merupakan seorang kanak2 berusia 6 tahun tidak menghadiahkan daya dalam bentuk sepakan kepadanya. Yang hitam akan kekal hitam, yang putih akan terus putih, hidup akan terasa hambar, tanpa adanya daya atau momentum yang diketengahkan ke atas kanvas bernama kehidupan.



Jadi wajarlah Allah yang Maha Mengetahui, telah mendahului Newton dalam perihal ini dengan firman-Nya di dalam Surah Ar-Ra'd (13) ayat ke-11:
"Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum selagi mana kaum itu tidak mengubah nasib mereka sendiri" 
Ertinya, sebuah umat itu akan kekal dalam keadaannya, andai mereka tidak mengenakan 'daya' dan 'momentum' untuk mengubah kisah sedih kehinaan nasib mereka.

Usahlah mendamba untuk menjadi umat yang terbaik, andai usaha-usaha pentarbiyahan (pendidikan) dan penyedaran umat tidak dilakukan secara intensif.

Usah pula berharap tertubuhnya sebuah negara Islam, andai maksiat dan penyelewengan masih dibiarkan berleluasa dan bermaharajalela. Usah merindu pertolongan Allah, andai umat tidak berusaha agar layak memperolehinya.

Apakah mungkin kemenangan akan datang, kemuliaan menjengah, dan kebahagiaan mengabadi, sedang insan tiada langsung kesungguhan dan pengorbanan bagi mendapatkannya?

"Apakah kau kira hanya dengan bermimpi & berangan itulah 'momentum perubahan'?
Bukannya hidup yang dipenuhi air mata dan darah berkat dari pengorbanan? Apakah kau meragui betapa hidup ini sebuah perjuangan, sedang nas-nas Al-Quran juga nas-nas saintitifik  kelolaan Newton, kedua-dua telah menyepakati keperluannya?

"Apakah kamu mengira bahawa kamu semua akan masuk Syurga, sedangkan belum datang kepada kamu apa yang dilalui oleh orang-orang sebelum kamu? Mereka ditimpa malapetaka kesengsaraan, serta digoncang (pendirian) mereka, sehingga berkatalah Ar-Rasul dan orang-orang beriman yang bersamanya, "bilakah akan datang pertolongan Allah?" Ingatlah pertolongan Allah amat dekat." (Al-Baqarah : 214)

Marilah beri masa kita untuk Islam, sepertimana masa yang kita berikan untuk memenuhi tuntutan kehidupan, agar masa-masa yang kita berikan itu menjadi 'momentum' yang meniupkan angin perubahan kepada nasib malang umat Islam yang kian berpanjangan. Dan Newton pun tersenyum riang, kerana kita memahami teori yang dia kemukakan.


Biodata Penulis
Ir. Faridul Farhan Abd Wahab
Managing Director Futuwwah Training & Consultancy

No comments:

Post a Comment

Popular Posts